Subscribe Us

Masalah Rahim Kendur, Kesan, Pencegahan Dan Rawatan- Pakar Perbidanan Dan Sakit Puan Hospital Raffles


(Penulis artikel ini ialah pakar perbidanan dan sakit puan di Hospital Raffles, Klinik Raffles Tampines 1)

Kekenduran rahim atau uterine prolapse adalah satu keadaan apabila organ rahim menurun atau melorot ke bawah memasuki saluran faraj dan kadangkala terkeluar dari ruang faraj.


Keadaaan ini biasanya berlaku akibat kelemahan ligamen dan otot yang menyokong dan 'memegang' rahim pada kedudukan asalnya.


Keadaan ini juga turut boleh berlaku dengan masalah kelemahan di bahagian dinding faraj atau cystocele dan lantai faraj atau rectocele.





Kekenduran rahim boleh dibahagikan kepada tiga peringkat.


Pertama, kelemahan ringan yang mengakibatkan rahim melorot sedikit daripada kedudukan biasa. 


Kedua, ia berlaku apabila rahim menurun sehingga pintu rahim atau serviks berpangkalan di permukaan saluran faraj.
Ketiga, tahap yang paling teruk apabila sebahagian atau keseluruhan organ rahim terkeluar dari ruang faraj. Keadaan rahim yang terkeluar dari saluran faraj sepenuhnya turut dikenali sebagai masalah tombong atau procidentia.


Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada masalah kekenduran rahim dan faktor usia menjadi penyumbang utama.

Kekenduran rahim lazimnya menjejas wanita mapan pada peringkat usia yang sudah lanjut.


Setelah mengalami menopaus atau putus haid, ketandusan hormon seks wanita, estrogen, menyebabkan kekecutan dan kelemahan tisu, ligamen dan otot di bahagian pinggul dan faraj yang menyokong organ rahim.


Oleh itu, seperti yang lazim berlaku, keadaan kekenduran rahim biasanya menjejas wanita berusia lebih 60 tahun.
Terdapat kemungkinan bahawa kesulitan dan kecederaan berkaitan dengan kehamilan dan kelahiran bayi boleh menyumbang kepada masalah kekenduran rahim.


Proses bersalin yang melibatkan waktu meneran yang terlalu lama, kelahiran bayi yang mempunyai berat badan terlalu besar, masalah kelamin atau faraj yang terkoyak dan kelahiran menggunakan alat bantuan forceps atau vaccuum juga boleh menyumbang kepada masalah kekenduran rahim.


Tekanan di bahagian perut yang berlebihan turut boleh melemahkan sokongan kepada organ rahim.


Tekanan yang tercetus daripada masalah-masalah seperti kegemukan, batuk kronik, sembelit, mengangkat bebanan berat dan ketumbuhan di bahagian rahim seperti fibroid, boleh memburukkan keadaan kekenduran rahim.


KESAN KEKENDURAN RAHIM

Masalah kekenduran rahim tidak bahaya dan tidak mengancam nyawa. Namun, ia boleh menjejas kualiti kehidupan dan menyebabkan kesulitan untuk melakukan kegiatan harian.


Gangguan mengeluarkan air kencing
Masalah yang biasa dialami adalah seperti kerap buang air kecil, sukar hendak mulakan kencing dan hilang daya untuk mengawal kencing.


Keadaan yang digelar stress urinary incontinence ini berlaku apabila kencing tidak dapat dikawal dengan baik apabila batuk, ketawa atau bersin dan keadaan ini boleh mengganggu tugas harian, kebersihan peribadi dan amalan ibadah.


Masalah hubungan seks
Keadaan kekenduran rahim juga boleh menyebabkan kelonggaran faraj akibat kelemahan otot di bahagian faraj sehingga menjejas keupayaan mengadakan hubungan seks dengan sempurna. Ia boleh mengurangkan kepuasan seks terutama pada pihak suami.


Sakit pinggang
Rahim yang terkendur menarik otot, ligamen dan urat yang berhubungan dengan bahagian pinggang dan pinggul. Ini boleh menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan di bahagian yang terjejas khususnya ketika berdiri atau berjalan jauh.

Gangguan kesihatan kelamin
Masalah kekenduran rahim yang lanjut boleh menyebabkan bahagian pangkal rahim dan rahim yang tergesel dengan pakaian dalam, lebih-lebih lagi ketika berdiri atau berjalan. 


Bahagian rahim dan pangkal rahim yang terdedah turut boleh menjadi kering, mudah terluka, lantas boleh dijangkiti kuman. Ini kemudian boleh menyebabkan masalah pendarahan dan pengeluaran lendir yang banyak. 


Dalam jangka panjang, luka atau ulser yang timbul dari keadaan kekenduran rahim boleh berubah menjadi ketumbuhan barah.



Menghambat kegiatan

Organ rahim yang mengisi ruang di luar alat kelamin boleh menjejas keupayaan untuk bergerak, bersenam dan beribadah. 



Pencegahan
Cara terbaik untuk mengatasi masalah kekenduran rahim ialah dengan mengamal dan memberi perhatian kepada langkah-langkah pencegahan yang dapat mengurangkan risiko mendapat masalah kesihatan ini pada usia senja.


Gaya hidup sihat dengan cara pemakanan yang seimbang dan jadual senaman yang tetap, di samping mengelakkan tabiat buruk seperti merokok dan mengawal berat badan, dapat mencegah pelbagai masalah kesihatan seperti kegemukan, sembelit, batuk kronik dan menopaus awal.


Rawatan

Senaman untuk menguatkan otot di bahagian perut dan lantai pinggul boleh mencegah atau meringankan masalah kekenduran rahim.
Senaman ini boleh mula dilakukan ketika usia muda, sewaktu hamil atau sejurus setelah bersalin.

Jika diamalkan dalam kehidupan harian, otot di sekeliling faraj dan lantai pinggul menjadi bertambah kuat dan padat.


Pembedahan boleh dilakukan untuk membetulkan masalah kekenduran rahim. Melalui pembedahan yang dilakukan melalui lubang faraj, rahim yang kendur boleh dikeluarkan menerusi pembedahan yang dinamakan vaginal hysterectomy. Pembedahan ini biasanya diikuti dengan pembedahan untuk menguatkan dinding dan lantai faraj bagi mengatasi masalah cystocele dan rectocele.


Pembedahan manchester, walaupun jarang dilakukan, sesuai dilakukan untuk masalah kekenduran rahim yang ringan. Melalui pembedahan ini, pangkal rahim yang kendur boleh dipotong dan dikeluarkan tanpa mengeluarkan organ rahim.
Walaupun pembedahan dapat memulihkan keadaan kekenduran rahim, tidak semua wanita dalam lingkungan usia 60-an tahun berasa selesa untuk menjalani pembedahan.


Ada pula yang tidak sesuai untuk menjalani pembedahan atas sebab-sebab keadaan kesihatan yang kurang memuaskan. 


Bagi golongan ini, rawatan menggunakan alat berbentuk cincin yang dinamakan ring pessary, boleh dimasukkan ke dalam ruang faraj untuk menyokong dan memasukkan rahim ke dalam ruang pinggul.


Alat pessary ini harus diganti setiap dua hingga tiga bulan untuk mencegah masalah luka dan jangkitan.


Nota: Penulis artikel ini ialah pakar perbidanan dan sakit puan di Hospital Raffles, Klinik Raffles Tampines 1.

Catat Ulasan

1 Ulasan

singamaraja berkata…
Salam ziara