Masjid Ubudiah terletak di
atas Bukit Chandan berhampiran Sungai Perak di Kuala Kangsar, dikatakan antara
masjid tercantik di negara ini. Masjid Diraja Ubudiah pernah menjadi Masjid
Negeri sebelum Masjid Sultan Idris Shah II dibina. Makam diraja pula terletak
di sebelah masjid.
Masjid diraja Perak ini terkenal dengan seni binanya yang menawan dan megah, merupakan satu lagi warisan seni bina Kolonial British di negara ini. Pembinaannya adalah di bawah titah bekas Sultan Perak, Sultan Idris Mursyidul Azam Shah, yang meletakkan batu asas pada 1913.
Reka bentuk masjid ini dipengaruhi
oleh gaya Indo-Saracenic seni bina Mughal, ia direka oleh arkitek Jabatan Kerja
Raya, Arthur Benison Hubback, yang juga bertanggungjawab ke atas beberapa
bangunan terkenal lain, termasuk Masjid Jamek di Kuala Lumpur. Susun atur segi
lapan yang dirangka oleh Hubback kemudiannya dikonsepkan oleh jurutera negeri
Kolonial, FSG Caufield.
Pembinaannya pernah tertangguh akibat kemusnahan bahan jubin marmar oleh gajah diraja. Penggantian bahan itu dihentikan kerana Perang Dunia I yang juga berlaku di Itali. Ia akhirnya siap pada tahun 1917 dan dirasmikan oleh pengganti Sultan Idris, Sultan Abdul Jalil Nasarudin Shah.
Reka bentuk masjid ini sesungguhnya amat menarik. Ia berbentuk octagon dan mempunyai 4 buah menara setinggi 126 kaki serta dikelilingi oleh kubah-kubah di bahagian dalam yang mana tiap-tiap satu garis pusatnya berukuran sepanjang 60 kaki. Bahagian dalam dinding dan lantai masjid ini menggunakan batu marmar berwarna merah dan putih yang dibawa khas dari Itali dan London.
Bentuk dinding masjid ini memperlihatkan sebuah bangunan berkubah induk besar di tengahnya serta dikelilingi dengan empat buah anjung yang mengandungi sebuah kubah pada pertengahan setiap anjung, lapan buah menara induk dan enam belas menara apit.
Jumlah kubah dan menara dikatakan mengambil sempena aturan gelaran Orang
Besar-Besar iaitu Orang Besar Ampat, Orang Besar de-lapan dan Orang Besar Enam
Belas. Keluasan ruang induknya ialah 20m x 20m dan dilingkungi oleh serambi
utama selebar 2.5m yang juga mempunyai sebuah kubah. Sebuah kolah untuk
mengambil air sembahyang terletak di sisi timur serambi tersebut.
Reka bentuk ruang dewan solat utama dilihat agak berbeza, ia dizahirkan dengan penggunaan satu siri tingkap gerbang ladam, serta hiasan dalaman yang mewah. Kerja-kerja plaster rumit dari cornice dan siling yang dibentuk mendominasi ruang, dengan candelier yang besar di tengah-tengah ruang solat.
Gerbang bulat pada dinding kiblat
dengan gerbang ladam menandakan ceruk mihrab, manakala sebuah mimbar kayu
bertingkat diletakkan di sebelah kanannya.
Masjid Ubudiah Kuala kangsar sering menjadi tumpuan para pengunjung sama ada dari dalam negara mahupun pelancung dari luar negara kerana nilai seni rekanya yang bermutu tinggi sehingga ianya mendapat tempat dalam pelan pelancongan.
Keunikan reka bentuk bangunannya yang memiliki ciri-ciri budaya seni bina Inggeris dan ‘Saracenic’ iaitu Islam-India tinggalan warisan kolonial British, serta sejarah pembinaannya yang sangat unik telah menjadikan bangunan ini sebagai daya tarikan pelancung dari luar negara.[orangmuo.my,rujukan pelbagai sumber]
0 Comments