Sejarah Penemuan Kolam Air Panas Sungai Resik (Gersik) - (Laman web Kerajaan Negeri Johor)
Pembukaan Kampung Sungai Resik
(Gersik) ini bermula pada tahun 1883 dan berakhir pada tahun 1960 dimana ketika
itu masih hutan belantara diteroka untuk dijadikan kawasan pertanian dan petempatan.
Peneroka asal kampong ini diketuai oleh Orang Kaya Ali bersama pengikutnya dari
Muar yang menyusuri pantai Selat Melaka setelah terlibat di dalam pertengkaran
keluarga.
Nama Sungai Resik ini adalah sempena wujudnya bekas laluan air ( alur ) seperti anak sungai yang
terdapat di kawasan kampung ini. Perkataan
‘Resik’ pula adalah istilah Jawa yang bermaksud bersih, di mana air anak sungai
yang mengalir itu berkeadaan jernih dan bersih dari semak samun.
Kolam Air Panas Sungai Resik telah ditemui pada tahun 1911 oleh Tuan Hj Abd. Rahman bin Hj. Harshad atau lebih dikenali dengan nama Hj. Abd. Rahman Getu, ketika beliau dan rakannya masuk ke hutan mencari linau dan anak kayu untuk membuat pondok sebagai tempat berteduh. Ketika itu Kg Sungai Resik telah diterokai sejauh 2.5 kilometer ke pedalaman dan kawasan kolam air panas ini masih lagi hutan belantara.
Menjelang tengahari beliau ternampak sesuatu
yang aneh menyerupai tasik kecil berukuran lintang kira-kira 10 kaki,
dikelilingi oleh lembah berlumpur serta semak. Airnya menggelegak dan berasap
mengalir ke kawasan di sekitarnya. Hj. Abd. Rahman merasa seram dan takut lalu
terus meninggalkan tempat itu tanpa mengambil kayu yang telah dikumpulkannya.
Malangnya ia telah sesat sehingga ke senja barulah jumpa semula jalan keluar.
Apabila sampai ke rumah, beliau lantas menceritakan kisah penemuannya itu kepada penduduk kampung. Anehnya, kolam yang menjadi cerita hangat dikalangan penduduk kampung itu tidak dapat ditemui apabila dicari.
Kolam air panas itu hanya di temui semula kira-kira tiga bulan kemudiannya, apabila Hj Abd. Rahman dan rakannya bernama Rajikan pergi ke hutan mencari kayu dan rotan. Mereka terus merintis jalan dan membuat tanda pada pokok-pokok sampai ke jalan keluar.
Sejak itu kolam air panas
tersebut menjadi tumpuan penduduk kampung setempat dan penduduk dari kampung
berdekatan.
1 Comments
Kalau ada peta kawasan akan lebih bagus, tapi tak pe... mmg cantik dah tempat ni. Ada tak tempat pinjam kerusi roda? Besar juga kawasannya ye.