Subscribe Us

Kak Su Laksa Beras Kuala Perlis Rasanya Sedap Dan Unik, Menggunakan Ramuan Asli, Pembuatannya Secara Tradisi

Jika anda ke Langkawi atau Perlis, rasa seperti tidak lengkap sekiranya terlepas untuk menikmati laksa beras paling sedap di Malaysia.

 

Bagi penduduk tempatan dan juga pelancong, laksa beras restoran Kak Su Laksa yang terletak di Jalan Siakap Satu, Kuala Perlis adalah antara yang popular dan amat sinonim kelainan rasa mi dan kuahnya yang unik hasil dari proses pembuatan laksa berasnya yang menggunakan bahan-bahan asli turun-temurun dan masih mengekalkan cara tradisi.



Restoran Kak Su Laksa dikendalikan oleh Abdullah Osman, laksanya telah mendapat markah teratas oleh pengulas Trip Advisor review, platform pelancongan popular yang mengulas mengenai tempat penginapan, restoran, tempat pelancongan dan pengalaman perjalanan lain di seluruh dunia.


Restoran Kak Su Laksa Kuala Perlis memulakan perniagaannya di sini pada tahun 2009 oleh En Abdullah bersama adik angkatnya Su Nor, yang telah membuat dan menjual laksa selama hampir 50 tahun.

 Masjid Kuala Perlis


Laksa beras dihasilkan menggunakan kaedah tradisi

Setiap hari, En Abdullah yang lebih mesra disapa Pak Ude tekun menghasilkan laksa beras secara tradisi.  Ramuan laksa beras Kak Su secara turun-temurun ialah tepung ubi kayu, tepung beras dan beras kisar.  Bagi menjamin keaslian dan kualiti laksa beras itu, En Abdullah sendiri yang melakukan kerja-kerja serta memantau proses pembuatannya.

 


Beras kisar kini sudah semakin dilupakan dan ditinggalkan oleh pengusaha-pengusaha laksa kerana cara penghasilannya yang rumit.  Proses pembuatannya memang akan mengambil masa yang panjang.

 

En Abdullah menggunakan tepung beras, tepung ubi kayu dan beras mentah batu yang mungkin merupakan ramuan "rahsia" yang meningkatkan rasa laksanya.  Beras harus direndam terlebih dahulu di dalam air dan kemudian dikisar dan dijemur hingga kering.

 

Beras kisar kemudiannya dicampur dengan ramuan lain. Orang sekarang memang tidak mahu ikut resipi yang rumit ini dan mereka selalunya hanya akan guna tepung beras yang siap diproses, sebab itu rasa laksa beras kisar tidak sama, kata En Abdullah.

 

Campuran itu kemudiannya diuli dengan tangan sebelum dijadikan doh berbentuk bulat dan direbus sekitar dua hingga tiga minit sebelum dimasukkan ke dalam mesin khas untuk disebatikan semula dengan campuran tepung.

 

Bahan ini kemudiannya dimasukkan ke dalam mesin laksa atau 'gebok' untuk menghasilkan uraian halus laksa.  Proses terakhir ialah doh berkenaan akan ditekan dalam acuan mesin sebelum terus jatuh ke dalam kawah yang tersedia air rebusan sebelum ditos dan dihidangkan kepada pelanggan.


 

Keenakan dan keistimewaan laksa beras Kak Su

Cara menghasilkan kuah laksa pula, En Abdullah membeli ikan segar seperti ikan temenung (kembong) dan selayang setiap hari daripada nelayan dan peniaga di Jeti Kuala Perlis yang terletak berhampiran.

 

Resipi kuah laksa Kak Su Laksa merupakan resipi istimewa keluarga ini dan menjadi sebutan penduduk tempatan dan pelancong yang berkunjung ke Kuala Perlis.


Kuah laksanya sama sekali berbeza dengan laksa di tempat lain.  Kuah laksanya agak pekat yang memiliki rasa berlemak, kurang pedas namun sedikit manis hasil daripada rasa ikan yang segar yang digunakan dalam penyediaan kuah.


Tekstur kasarnya terasa sangat sedap kerana ikan-ikan itu digiling menjadi sedikit kasar. Oleh sebab Kuala Perlis adalah pelabuhan ikan, dipercayai bahawa ikan yang digunakan di sini berada dalam keadaan segar.  Sekiranya anda lebih gemar akan rasa lebih pedas, sila masukkan cili atau limau yang disediakan atau memasukkan sedikit kicap ke dalam laksa untuk rasa lebih masin.

 


Apa yang lebih istimewa untuk menikmati laksa di restoran Kak Su Laksa ialah laksanya akan dihidangkan bersama dengan pulut udang dan kuih spera.  Kuih spera, bentuknya seperti karipap tetapi intinya berupa sambal kelapa, seperti kuih cucur badak.  Kombinasi laksa dan kuih spera ini benar-benar memberi rasa yang unik dan sedap bagi penggemar laksa utara.  Selamat menjamu selera.

 


Kak Su Laksa Beras Asli & Segar

97, Jalan Siakap 1, 02000, Kuala Perlis, Perlis

Waktu operasi: 10:00 pagi - 7:00 malam (Tutup pada hari Selasa)

Post a Comment

0 Comments