Subscribe Us

Mengapa Haji Tamattu’ Dan Haji Qiran Dikenakan Dam, Manakala Haji Ifrad Sebaliknya

Ibadah haji adalah wajib bagi orang Islam yang berkemampuan, bukan atas dasar kemampuan kewangan semata-mata, tetapi juga mampu dari segi kesihatan fizikal dan mental, mempunyai kenderaan, dan suasana persekitaran dalam keadaan aman.

 

Pekerjaan haji boleh dilakukan dengan tiga model atau cara yang berbeza.  Perbezaannya adalah terletak pada waktu pelaksanaan haji dan umrah. Bakal-bakal haji boleh memilih sama ada mahu melaksanakan Haji Tamattu’, haji Qiran atau Haji Ifrad.  Antara ketiga-tiga kaedah ini, orang yang mengerjakan Haji Tamattu’ dan Haji Qiran wajib membayar dam, sebaliknya pula Haji Ifrad tidak dikenakan dam.

 

Mengapakah orang yang mengerjakan Haji Tamattu’ Dan Haji Qiran dikenakan dam, manakala Haji Ifrad sebaliknya?

 

Dalam ibadah haji yang kita laksanakan, terdapat peraturan-peraturan yang kita perlu penuhi dan larangan-larangan yang wajib kita jauhi dalam usaha bagi mendapatkan kesempurnaan ibadah haji tersebut. 

 

Haji Tamattu’

Orang yang mengerjakan Haji Tamattu’ dikenakan dam dengan menyembelih seekor kambing, kerana dia mengerjakan Umrah dan Haji dalam bulan-bulan Haji pada tahun yang sama. Bulan-bulan haji yang dimaksudkan adalah bermula pada 1 Syawal hingga 10 Zulhijah pada tahun tersebut.

 

Dikatakan juga kerana ia bertamattu’ (bersedap-sedap dengan menanggalkan Ihram setelah berihram) dalam bulan-bulan Haji dan dia tidak keluar ke Miqatnya atau ke suatu tempat yang jaraknya sekurang-kurangnya 2 marhalah dari Tanah Haram itu untuk berniat Ihram Haji.

 

Manakala syarat-syarat dikenakan dam bagi orang yang mengerjakan Haji Tamattu’ adalah seperti berikut:

 

* Dia bukan daripada penduduk Mekah.

* Dia tinggal di tempat yang jauhnya dua marhalah atau lebih dari Tanah Haram.

* Dia mengerjakan Haji dan Umrah dalam bulan-bulan Haji pada tahun yang sama.

* Dia tidak berniat ihram Haji di Miqat bagi penduduk negerinya atau bagi penduduk dari arah mana dia datang masuk ke Tanah Haram untuk mengerjakan Haji.

* Dia tidak berniat Ihram Haji dari tempat yang jaraknya 2 marhalah atau lebih dari Tanah Haram.

 

Haji Ifrad

Ifrad ertinya menyendiri. Jika memilih untuk melaksanakan Haji Ifrad, maka seorang jemaah haji itu harus melaksanakan ibadah haji dahulu, setelah selesai haji baru melakukan ibadah umrah. Namun Umrah boleh dilakukan pada bulan haji tetapi dengan kaedah dan syarat tertentu seperti yang dijelaskan di bawah.

 

Cara Pelaksanaan Haji Ifrad:

Cara 1:

Melakukan ibadah haji terlebih dahulu, kemudian barulan melaksanakan umrah.

Urutan pelaksanaannya adalah, ihram dari miqat untuk melaksanakan haji.  Setelah selesai mengerjakan haji, kemudian berihram lagi dan mengambil miqat untuk melakukan ibadah umrah.

 

Cara 2:

1. Melakukan umrah di luar bulan-bulan haji, kemudian melakukan haji pada bulan haji. ATAU,

 

2. Umrah dilakukan pada bulan haji, setelah selasai umrah dia harus kembali ke rumahnya atau tempat tinggalnya, kemudian baru pergi lagi untuk menunaikan haji pada bulan haji, pada tahun yang sama dia menunaikan umrah.

Justeru, mereka yang melaksanakan Haji Ifrad tidak dikenakan dam atau denda.

 

Haji Qiran

Qiran bermaksud berteman atau bersamaan.  Jemaah haji yang melakukan Haji Qiran akan melakukan ibadah haji dan umrah secara bersamaan atau serentak dengan kaedah yang ditetapkan. Hal ini dilakukan dengan sekali niat sekaligus untuk haji dan umrah.


Pelaksanaannya dilakukan pada bulan-bulan haji. Jemaah melakukan tawaf, sa'i, dan tahallul sekali untuk haji dan umrah.


Namun orang yang menunaikan Haji Qiran diwajibkan membayar dam seekor kambing.[Pejabat Mufti WPblog.principal.co.id]

Catat Ulasan

0 Ulasan