Subscribe Us

Spesies Tiram Putih Sungai Muar Terbaik Di Dunia, Tiada Di Tempat Lain

Daerah Muar bukan sahaja terkenal dengan pelbagai khazanah sejarah dan budaya, malah mempunyai hasil laut dan sungai yang pelbagai serta mempunyai keunikannya tersendiri.

Antara keistimewaan  utama daerah ini, sungai Muar memiliki tiga spesies tiram yang dipercayai antara 10 jenis hidupan akuatik berkenaan terbaik di dunia. Aktiviti mengutip tiram ini berpangkalan di Parit Tiram Muar


Antara spesies tiram yang hidup secara semula jadi di dasar sungai Muar ialah tiram kapak, tiram putih dan tiram selipar.  Ia merupakan jenis tiram yang terbaik serta tidak terdapat di tempat-tempat lain di negara ini dan di sahkan bermutu tinggi oleh pengkaji dari UTM dan UMT, dengan kerjasama JIKA dari Jepun.

Namun, antara tiga spesies ini, tiram putih paling digemari terutama dari kalangan orang  Cina, sekali gus mendapat permintaan yang tinggi.

 

Tiram yang dikutip dari dasar muara Sungai Muar mempunyai permintaan tinggi kerana khasiatnya dikaitkan dengan keupayaan meningkatkan testosteron dan kesuburan kaum lelaki.

Menariknya, teknik untuk mendapatkan tiram di sungai ini masih dilakukan secara tradisional sejak lebih 100 tahun lalu bermula pada 1870-an, kaedah selaman ini masih diteruskan oleh generasi turun-temurun.


Penyelam tiram perlu mempunyai kemampuan menahan nafas selama lebih seminit. Kebolehan nelayan terbabit untuk mengutip hasil tiram adalah amat mengagumkan kerana mereka langsung tidak menggunakan sebarang kelengkapan menyelam moden.

 

Nelayan-nelayan dari Parit Tiram hanya menggunakan pancang kayu untuk dipacakkan ke dasar sungai sebagai panduan daripada arus, kemudian dengan menggunakan kedua kaki penyelam berpaut pada pancang tersebut dan mengaut tiram di bawah paras kedalaman lebih lima meter, sedikit demi sedikit untuk dibawa ke permukaan.


Masa terus berlalu, kini hanya tinggal 10 penyelam tiram berusia antara 30 hingga 65 tahun yang masih lagi aktif mencari rezeki di sekitar lokasi perikanan yang tertua di daerah ini.

 

Kegiatan menyelam tiram ini adalah bergantung kepada jadual air pasang surut dan setiap sehari para nelayan boleh memperoleh 10 hingga 30 kilogram.

Bagi memastikan tiram-tiram ini terus kekal membiak di sungai ini, aktiviti penting yg diamalkan pengutip tiram ialah mereka akan membuang semula kulit-kulit tiram yg sudah dikopek ke dalam sungai semula kerana kulit-kulit tersebut mempunyai benih semulajadi untuk pembiakkan anak-anak tiram. 

Tiram Sungai Muar sesungguhnya agak unik kerana ia hanya boleh hidup di sini.  Usaha membiaknya di lokasi lain telah dijalankan tetapi tidak berjaya, malah usaha beberapa pakar dari Jepun dan universiti tempatan menternak tiram  jenis tersebut juga tidak berjaya.

 

Faktor utama mengapa tiram sungai Muar hanya boleh hidup di sini adalah kerana kewujudan plankton yang menjadi makanan utamanya yang mungkin tidak ada di sungai lain, sekali gus faktor itu juga menyebabkannya diiktiraf antara tiram terbaik di dunia.


Jika anda teringin menikmati keenakan tiram Muar, anda boleh mencubanya di warung atau restoran berhampiran tepi sungai Muar, parit Tiram, antara yang popular ialah restoran D' Tiram Terapung Muar. [pelbagai sumber]

Catat Ulasan

0 Ulasan