Subscribe Us

Sate Dhuha Laman Ole-Ole Maharani Muar Terunggul, Legend Since 1940

Bandar Muo memang sudah terkenal dengan sate sebagai menu bersarapan pagi.  Bersarapan pagi dengan sate begitu sinonim di kalangan warga tempatan dan juga penggemar-pengemar sate dari negeri lain, sanggup datang dari jauh hanya kerana merindukan sate Muo.

 

Banyak produk sate di daerah Muo sebenarnya dengan rasa yang bermacam-macam.  Sejak zaman 40-an, pengusaha dan peniaga sate sering bertukar ganti dari masa ke semasa,  sehingga kini sate Muo tetap menjadi pilihan popular sebagai pembuka selera waktu pagi.  Banyak kedai menjual sate, namun tidak semuanya dapat memberikan kepuasan citarasa pelanggan kerana rasanya yang berbeza-beza.



Lain pula kisahnya dengan sate legend yang satu ini, dikenali dengan nama sate Dhuha, diusahakan oleh Pak Khir, anak tempatan Muo. Sate Dhuha merupakan antara jenama sate yang paling legend di daerah Muar (Muo).  

Pak Khir

Menurut Pak Khir, 50, beliau mewarisi resepi sate Dhuha daripada datuk dan bapanya yang memulakan perniagaan sate di bandar Muo sejak tahun 1940-an lagi.  


Setelah datuknya meninggal dunia, perniagaan ini di warisi dan diteruskan oleh bapa Pak Khir di Jalan Sulaiman, bersebelahan dengan kedai apam balik. 
 

Konsep 1 Malaysia atau Keluarga Malaysia sebenarnya telah wujud sejak dulu lagi di mana terdapat banyak kedai makan di daerah Muo menjalankan perniagaan dengan rakan kongsi pelbagai kaum.  Begitu juga dengan bapa Pak Khir berkongsi kedai yang sama menjalankan perniagaannya bersama seorang rakan berbangsa Cina yang menjual minuman sementara Pak Khir menjual sate dan pelbagai menu lain.


Pada tahun 1990-an bapanya bersara daripada berniaga, Pak Khir pula mengambil alih dan meneruskan perniagaan bapanya itu di kedai yang sama sehingga tahun 2019.  Kemudian Pak Khir berpindah ke Laman Ole-Ole Maharani. Sehingga kini Pak Khir telah meneraju kedai sate Dhuha selama 33 tahun.


Perniagaan sate Dhuha terus bertambah maju dan mendapat sambutan sangat menggalakkan daripada warga tempatan dan juga para pelancong yang berkunjung ke Muo.  Makanan yang berkualiti, enak dan lazat sudah tentu menjadi pilihan pelanggan sama ada penduduk tempatan mahupun para pelancong. 
 

Sate Dhuha legend Pak Khir ternyata memenuhi kriteria di atas, keenakan satenya amat lengkap dengan semua rasa, lemak, manis, masin, sedikit pedas dan masam secukup rasa.  Tekstur daging satenya lembut, segar, dan berbau harum apabila dibakar dengan api arang.  Sos kacang buatan sendiri juga rasanya sangat sedap, lengkap dengan semua rasa.


Tidak hairanlah jika pelanggan kedai Sate Dhuha sentiasa penuh dikunjungi pelanggan setiap hari, tambahan pula pada hari cuti, Jumaat, Sabtu dan Ahad.  Orang ramai terpaksa menunggu giliran untuk mendapatkan tempat duduk. 





Selain sate ayam dan daging, kedai makan Dhuha legend Pak Khir juga menyediakan sate paru dan sate perut. Kesemua sate Dhuha sentiasa mendapat sambutan hangat.
 

Menurut Pak Khir, setiap hari beliau menyediakan lebih 1500 cucuk sate, manakala pada hari minggu (Jumaat, Sabtu, Ahad) atau hari cuti sebanyak 2000 cucuk sate disediakan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang sentiasa ramai setiap hari.


Selain sate sebagai menu utama untuk bersarapan pagi, Kedai makan Dhuha juga menyajikan menu sarapan lain yang menjadi kegemaran ramai antaranya, nasi lemak, lontong, soto, mi kari, mi rebus dan roti bakar, dengan pelbagai jenis minuman panas dan sejuk juga disediakan.


Menu sarapan pagi yang tersedia ternyata memberi kepuasan kepada setiap pelanggan yang datang berkunjung di kedai ini, cukup rasa, enak dan lazat.



Layanan yang diberi juga amat memuaskan, servis cepat, sentiasa menjaga kebersihan tempat makan dan kawasan sekitar.  Lokasi kedai yang terletak di tepi sungai Muar menambahkan lagi suasana nyaman dengan pemandangan yang sangat menarik, memberikan rasa kepuasan dan kegembiraan kepada pelanggan-pelanggan yang sedang menikmati sarapan pagi.  Selamat menjamu selera.  

"Muo Destinasi Unik"

Jom try Roti Kitab Kafe Pak Inchik Laman Ole-Ole Maharani


Urusniaga Sate Dhuha Legend

Lokasi: Laman Ole-Ole Maharani  bersebelahan hotel Muar Traders dan Pejabat Daerah Muar

Buka : Setiap hari kecuali Selasa (tutup)

Masa : 7.30 pagi - 12.00 tengah hari 

Post a Comment

0 Comments