Subscribe Us

Rusia Kecam Rancangan Israel di Bukit Golan: Ukraine Diserang Presiden Ukraine Keturunan Yahudi

Rusia mengecam rancangan pertambahan penempatan Israel di Bukit Golan yang merupakan kawasan 800 kilometer persegi menempatkan sempadan Israel dan Syria.


Wilayah tersebut yang ditakluki sebahagian besar oleh Israel sebenarnya adalah zon berdaulat Syria sehingga Jun 1967, apabila Israel melancarkan Perang Enam Hari yang dengan kejam merampas kawasan tersebut.


Rusia yang ketika ini sedang menyerang Ukraine secara besar-besaran dari udara, lautan dan daratan bermula Khamis (24 Feb) dikaitkan dengan ketidakselesaan negara itu terhadap kepimpinan Ukraine, Presiden Volodymyr Zelensky yang berketurunan Yahudi.


Justeru, tidak menghairankan apabila Rusia bertindak mengalih perhatian dunia daripada serangannya terhadap Ukraine ketika ini dengan mengumumkan pandangan terbaharunya pada Khamis (24 Feb) mengenai Israel yang merupakan negara musuh kepada banyak negara-negara Islam itu, khususnya Palestine.


Moscow  menyampaikan ‘misi’nya tentang Israel yang secara tidak langsung menggambarkan kenapa negara itu menyerang Ukraine, dalam tweetnya kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang tertulis: “Kami bimbang dengan rancangan baharu Tel Aviv yang diumumkan untuk memperluaskan aktiviti penempatan di #GolanHeights yang diduduki, yang bercanggah dengan peruntukan Konvensyen Geneva 1949.


“Rusia tidak mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas Bukit Golan yang merupakan sebahagian daripada #Syria.”


Israel merampas Bukit Golan daripada Syria pada 1967 dan menguasai wilayah itu pada 1981, dalam satu langkah yang tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Resolusi oleh Majlis Keselamatan PBB, di mana Rusia merupakan anggota tetap, menyatakan:
“Keputusan Israel untuk mengenakan undang-undang, bidang kuasa dan pentadbirannya di Bukit Golan yang diduduki adalah terbatal dan tidak sah dan tanpa kesan undang-undang antarabangsa.”

Pada akhir tahun lalu, Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett mengumumkan rancangan untuk menggandakan bilangan penempatan di wilayah itu.

Berdasarkan hubungan ‘meruncing’ Rusia-Israel itu, adalah jawapan di sebalik kenapa sejurus sebelum menyerang Ukraine, Presiden Rusia,Vladimir Putin mendedahkan bahawa negara itu tidak berasa ‘selamat, berkembang dan wujud’ disebabkan  apa yang disifatkannya sebagai ancaman daripada pemodenan Ukraine di bawah pemerintahan Zelensky.

Beliau mendakwa matlamatnya adalah untuk melindungi warga asal Ukraine yang disifatkannya menjadi mangsa ‘pembunuhan beramai-ramai’ di bawah kuasa Zelensky seumpama Nazi yang bagaimanapun dinafikan Zelensky.

“Tidak ada pembunuhan beramai-ramai di Ukraine. Ia adalah sebuah demokrasi yang yang dipimpin oleh seorang presiden Yahudi. Bagaimana saya boleh menjadi Nazi Jerman?” tegas  Zelensky, yang sebaliknya menyamakan serangan Rusia dengan pencerobohan Nazi dalam Perang Dunia Kedua.

Putin sebelum ini sering menuduh Ukraine yang kini mempunyai populasi mencecah 44 juta itu diambil alih oleh pelampau, sejak presidennya terdahulu yang pro-Rusia, Viktor Yanukovych, digulingkan pada 2014 selepas protes berbulan-bulan menentang pemerintahannya. 

Rusia kemudian bertindak balas dengan merampas wilayah selatan Crimea dan mencetuskan pemberontakan di timur, menyokong pemisah yang telah memerangi tentera Ukraine dalam perang yang telah meragut 14,000 nyawa.

Pada lewat 2021,Putin mula mengerahkan sejumlah besar tentera Rusia ‘berkampung’ di sekitar berhampiran sempadan Ukraine. Kemudian pada minggu ini, beliau membatalkan perjanjian damai 2015 untuk timur dan mengiktiraf dua kawasan di bawah kawalan pemberontak Ukraine sebagai zon bebas. (Yusman Awang, Harakahdaily)

Catat Ulasan

1 Ulasan

Unknown berkata…
Stesyen tv dlm semua siaran mereka ..semuanya mengutuk Russia disebabkan mereka adalah pengikut setua USA dan nato...tetapi tidak begitu apabila Yahudi Zionis melanggar hak hak sah rakyat Palestine.