Penduduk sebuah perkampungan terpencil di pergunungan Wilayah Shanxi, China, mengambil masa
selama 15 tahun melakukan kerja-kerja memecah batu gunung hanya dengan berbekalkan peralatan lama
seperti pahat dan tukul, membina sebatang jalan raya yang hanya sejauh 1.5km, merentas lereng
gunung berbatu-batan keras agar kampung mereka dapat duhubungkan ke dunia luar, dengan harapan dan tekad untuk melarikan diri
dari belenggu kemiskinan.
Mendapat manfaat daripada iklim yang sangat baik, Shenlongwan sentiasa terkenal dengan kacang kenari dan pear yang indah, tetapi untuk memasarkan hasil tuaiannya merupakan satu cabaran yang serius bagi penduduk tempatan. Ini kerana sebelum terbinanya jalan raya ini sehingga tahun 2000, untuk sampai ke Bandar Changzhi, mereka perlu meredah selama 6 jam sama ada melencong melalui tiga wilayah berbeza, atau mempertaruhkan nyawa mereka mendaki tangga sempit berbahaya ke laluan gunung yang curam.
Penduduk kampung memutuskan
bahawa keadaan perlu berubah, dan jika pihak berkuasa tidak dapat membina jalan
ke kampung mereka, maka mereka terpaksa melakukannya sendiri.
Penduduk Shenlongwan sangat
memerlukan jalan raya, lalu mereka semua harus mengambil bahagian dalam
pembinaan. “Jika kami tidak dapat menyiapkannya dalam satu tahun, kami akan
mencuba dua tahun. Jika dua tahun tidak mencukupi, kami akan menjadikannya tiga
tahun."
Mereka terbukti sangat optimis, kerana ini bukan sebarang jalan. Shenlongwan dikelilingi oleh pergunungan di semua sisi, jadi penduduk kampung terpaksa menggali batu untuk menyambungkan rumah mereka ke seluruh China. Berbekalkan alat asas seperti tukul dan pahat, menggali melalui gunung terbukti sangat sukar dan memakan masa.
Jalan raya yang dibina oleh
penduduk Shenlongwan itu hanya sepanjang 1,526 meter, tetapi mereka mengambil
masa tidak kurang daripada 15 tahun untuk disiapkan. Kerja bermula pada tahun
1985 dan hanya berakhir pada tahun 2000.
Jalan yang pendek tetapi tidak
ternilai itu telah membuka pintu kepada aktiviti pelancongan dan perdagangan
dan terbukti menjadi kunci untuk mengeluarkan rakyat Shenlongwan daripada
kemiskinan. Mereka bukan sahaja dapat menjual hasil kerja mereka dengan lebih
pantas, malah keindahan alam semula jadi kampung itu mula menarik minat
pelancong.
Hari ini, lebih 60 peratus
daripada 700 lebih penduduk kampung terlibat dalam perniagaan berkaitan
pelancongan, dan kemiskinan yang pernah mereka lalui hanyalah tinggal kenangan
yang jauh. Pada tahun 2000, sebelum jalan berukir gunung itu beroperasi, purata
pendapatan per kapita hanyalah 680 yuan, manakala hari ini ia mencecah 12,000
yuan, atau $1,900. [odditycentral, news.cn]
0 Comments