Subscribe Us

Ayam Engkong Legasi Johor, Sedap Dan Unik, Sejarah dan Filosofi Ayam Engkong

Kebanyakan anak-anak generasi masa kini tidak mengetahui makanan tradisi masyarakat jawa dahulu kala yang enak dan lazat, iaitu "Ayam Engkong”. Hal ini mungkin disebabkan mereka tidak pernah melihat atau merasainya sendiri keenakan ayam engkong apatah lagi, ia agak jarang ditemukan sama ada di mana-mana majlis di kampung atau di kedai-kedai makan kerana kaedah memasaknya memerlukan kemahiran selain harus mengetahui lebih 20 bahan-bahan berupa ramuan herba dan rempah ratus yang diperlukan.

 


Namun kita masih berpeluang menikmati kulineri tradisi yang mempunyai sejarah dan filosifi tersendiri ini kerana ramai lagi yang berkemahiran meneruskan legasi ini, diantaranya ialah En Kamal Ibrahim Wardi Ayer Baloi. Jika anda berhajat ingin menikmati ayam engkong yang lazat ini, anda bolehlah berkunjung ke Gerai Rakyat, Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi, Pontian yang diusahakan oleh Encik Kamal Ibrahim Wardi bersama isterinya.




Kebanyakan pengunjung yang datang ke gerai ini adalah untuk merasai pengalaman sebenar, menikmati sendiri keistimewaan hidangan ayam engkong yang disajikan bersama campuran nasi, mi, sayuran kering, ikan masin dan keropok ikan di atas satu dulang besar.

Kisah sebelum memulakan perniagaannya, pemilik Legasi Engkong Johor Ayer Baloi, Encik Kamal Ibrahim Wardi menjelaskan, beliau pada mulanya sekadar suka-suka membuat ayam engkong untuk teman-teman dan saudara-mara yang mendambakan masakan Jawa seperti yang biasa mereka nikmati pada masa lalu.  Lama-kelamaan, populariti ayam engkongnya terus tersebar dari mulut ke mulut dan tidak lama kemudian pesanan mula masuk untuk majlis perkahwinan dan juga bulan puasa Ramadhan.

 


Sejarah penubuhan Legasi Engkong Johor bermula sewaktu Program Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2015 dimana beliau adalah salah seorang peserta Gerai Rakyat, beberapa gerai makanan telah didirikan di kampung ini untuk menyambut Sultan Johor semasa ekspedisi Kembara Mahkota Johor tahunan.  Beliau terkejut apabila Baginda Sultan Johor sangat menggemari dan memuji keenakan dan kelazatan ayam engkong masakannya.

 


Bertitik-tolak dari pujian yang diterimanya itu, En Kamal seterusnya mengatur langkah untuk mengkomersialkan ayam engkong dengan membuka tempahan di sekitar daerah Pontian.  Idea untuk memiliki ruang niaga kekal ini muncul apabila permintaan semakin meningkat dengan cepat tidak lama kemudian selepas kejadian itu dan mengubah hidup keluarganya.


20 bahan masakan ayam engkong

En Kamal yang dibantu isteri, Hamilah Mohd Amin, amat mementingkan kualiti dalam penyediaan ayam engkong agar keenakan dapat dikekalkan.


En kamal mendapatkan bekalan bahan yang diperlukan dan keropok daripada beberapa penduduk yang berdekatan untuk memastikan kualiti dan kesegaran di samping menyokong ekonomi pengusaha tempatan dan juga dari kedai-kedai berhampiran.

 

Dengan hanya menggunakan ayam dari sumber tempatan, beliau memerapnya dengan campuran 20 bahan ramuan herba dan rempah termasuk ketumbar, jintan halus, jintan kasar, serai, halia, santan dan pelbagai lagi bahan digunakan untuk memasak ayam engkong. Hanya ayam kampung dan ayam tua sahaja yang boleh digunakan untuk masakan ayam engkong kerana perlu melalui merebus yang agak lama.. Hanya varian ayam ini yang cukup kuat untuk menahan rejim memasak yang ketat yang perlu disediakan.

Oleh sebab proses merebus ayam memakan masa agak lama, kini periuk tekanan digunakan bagi memudahkan ayam cepat lembut.  Selepas ayam yang direbus lembut dan masak, bahan-bahan rempah yang telah dikisar akan dimasak bersama ayam.  Proses menggaul ayam bersama rempah perlu dilakukan berhati-hati supaya ayam betul-betul menyerap rempah.

 

Selain ayam engkong, disediakan juga menu pilihan waktu makan tengah hari yang banyak dicari termasuk lontong kering dan pecal.

 

Legasi Engkong Johor

T / L 136, Kampung Parit Panjang,

82100 Ayer Baloi, Johor.

TEL 016-742 2656 / 016-797 7456

Buka setiap hari 9 pagi hingga 5 petang kecuali setiap hari Isnin minggu kedua dan keempat setiap bulan. 

 

 

Sejarah dan Filosofi Ayam Engkong

Ayam engkong bukan sekadar hidangan istimewa masyarakat orang Jawa Indonesia, sebenarnya ia adalah kuliner nusantara yang kental dengan budaya dan filosofi. Mengikut tradisi adat masyarakat Jawa dahulu kala, ayam engkong biasanya disajikan dalam nampah atau dulang besar sebagai sajian dalam berbagai acara adat dan perayaan seperti upacara keagamaan, peringatan hari besar, majlis kesyukuran (selametan), dan upacara peringatan kematian.


Walaupun banyak orang sudah tahu tentang ayam engkong yang menjadi ciri khas makanan orang Jawa dan disajikan bersama nasi tumpeng, namun belum banyak yang tahu bagaimana sejarah ayam engkong hingga menjadi salah satu kuliner warisan yang memiliki makna penting dalam adat Jawa.

 

Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nutrition and Food Science bahawa ayam engkong berasal dari kata “manengkung” yang bermaksud memanjatkan doa kepada Tuhan dengan kesungguhan hati. Ayam engkong menjadi komponen pokok dalam tumpeng.

 


Bersamaan dengan tumpeng [nasi sajian], ayam engkong dipercayai sudah ada sejak kerajaan Jawa dipengaruhi oleh agama Hindu.  Istilah ayam engkong disebutkan pada karya sastra lama, Serat Centhini II, yang menyebutkan mengenai iwak pitik (lauk ayam).

 

Ayam engkong memiliki filosofi yang tidak harus diabaikan dalam budaya Jawa.  Menurut adat budaya Jawa dahulu kala, ayam adalah lambang dari rasa syukur dan kenikmatan yang diperoleh di dunia kerana kuasa Tuhan.

 

Hanya ayam yang baik dan lazat saja yang menjadi persembahan, sebab itulah mengapa ayam engkong disajikan dalam bentuk utuh [lengkap seekor] dan ditata hias dengan indah.  Justeru bersumberkan sejarah adat dan asal usul adanya ayam engkong, maka ia harus disajikan dengan ayam utuh dalam setiap nasi tumpeng di majlis keraian. [nst.com.my/ Fbook Noorlhisham /FB MuhammadRazibFB LegasiEngkongJohornst.com.my/  fimela.com]

Post a Comment

0 Comments