Subscribe Us

Sate Maharani Muar (Muo), The Legend - R&H Café


Bando Muo memang sangat terkenal dengan sate makanan kegemaran semua peringkat umur.  Bersarapan pagi dengan sate hanya boleh didapati di bando Muo.  Salah satu jenama sate yang sangat terkenal  bukan saja di Muo malah begitu dikenali oleh  warga kota Kuala Lumpur, JB, Melaka dan Pantai Timur ialah Sate Maharani Muo.

Restoran ini menjalankan perniagaannya di No 15, Jalan Sri Temenggong 26, Taman Sri Temenggong, Jalan Temenggong Ahmad, Muo, kira-kira 2km dari bando Muo [Muar].  Mereka yang datang dari jauh sanggup turun ke Muo semata-mata untuk bersarapan pagi menikmati kelazatan Sate Maharani ini.

Sate Maharani begitu popular sekali, digemari oleh semua golongan dan kaum dari peringkat orang biasa-biasa macam orangmuo ni hinggalah ke golongan selebriti, vip, vvip dan juga kerabat di Raja Johor.  Rahsia utamanya ialah keenakan dan kelazatan Sate Maharani yang unik, berbeza dengan sate di tempat lain.



Jika anda makan Sate Maharani ini, anda akan dapat merasai kelainan yang begitu sempurna, semua rasa ada pada Sate Maharani, rasa rempah-ratusnya, masam manisnya, dan lemak masinnya, semua secukup rasa.



Satu lagi rahsia keeenakan Sate Maharani ialah kaedah tradisional yang diamalkan semasa membakar sate dengan teliti ditambah dengan bahan yang disapukan ke atas sate membangkitkan aroma begitu menusuk kalbu, selain kualiti daging dan ayam terpilih.  Setiap cucuk sate yang dibakar, tukang bakar sate sentiasa memastikan teksturnya mesti lembut, api yang sentiasa kekal sekata, tidak hangus dan semua rasa rempah-ratus kekal utuh pada sate yang dibakar.



Sekali anda rasa, orangmuo percaya, anda akan datang lagi untuk menikmati kelazatan Sate Maharani ini walaupun anda berada jauh sama ada di KL atau JB. Anda pasti sanggup berkejar ke Muo semata-mata untuk menikmati keluarbiasaan keenakan Sate Maharani Muo, R&H Cafe.  Adunan rempah-ratus yang digunakan untuk membuat sate adalah resepi keluarga pemilik restoran R&H Cafe turun temurun.


R&H Café menyediakan 3 jenis sate, iaitu sate ayam, sate daging dan sate perut. Harga secucuk hanya 80 sen sahaja [harga baru 2021 RM1.00]. Semua ketiga-tiga jenis sate Maharani ini sedap-sedap belaka dengan aroma dan perisanya yang unik dan istimewa.



Selain Sate Maharani, R&H Cafe juga menyediakan pelbagai menu yang menjadi pilihan utama pelanggan antaranya, Lontong, Roti Manja, Mi Rebus, Mi Sop, Mihon Sop dan Tahu Lentok.  Semua menu yang ada di sini  ternyata sangat sedap.  Biasanya selain sate sebagai menu utama, kebanyakan pelanggan akan memesan menu lain seperti di atas, sebagai hidangan bersama. 


Sate Maharani R&H Cafe 
Sate Maharani telah bertapak di Bando Muo semenjak tahun 1990-an lagi dan merupakan antara terawal di bando Muo, bak kata sesetengah orang 'Sate Maharani Unique and Legend'.  Sate Maharani diasaskan oleh Allahyarham Pak Abu bersama rakan baiknya.  Sebelum membuka restoran ini beliau pernah membuka perniagaannya di Rest House Muo Restoran berhampiran padang Golf Tanjung Emas Muo sekitar tahun 80-an dan 90-an. 


Pada masa itu Rest House Muo amat terkenal dan sangat popular bukan saja di kalangan penduduk Muo malah di negeri Johor dan negeri-negeri berhampiran.  Kemudian beliau membuka restoran R&H Cafe Sate Maharani di Jalan Maharani berhadapan Stesen Bas Bentayan, ( ada orang panggil Stesen Bas Muo Pagoh). 


Kini perniagaan R&H Cafe Sate Maharani diteruskan oleh anak Allahyarham Pak Abu, Pn Haryati.  Oleh sebab pihak MARA hendak meroboh dan membina bangunan rumah kedai yang baru (Jalan Maharani),  R&H Cafe berpindah dan meneruskan perniagaannya di No 15, Jalan Sri Temenggong 26, Taman Sri Temenggong, Jalan Temenggong Ahmad, Muo, kira-kira 2 km dari bando Muo.

R&H café Sate Maharani Muo dibuka pada setiap hari Sabtu hingga Khamis, bermula jam 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, dan tutup pada setiap hari Jumaat. Datanglah berkunjung ke R&H Café Muo, nikmati sarapan pagi anda dengan Sate Maharani Muo.




Catat Ulasan

0 Ulasan