Pantai sering menjadi
destinasi pilihan paling popular ketika musim cuti. Bagaimanapun anda haruslah sentiasa
berwaspada kerana laut merupakan rumah bagi sesetengah spesies haiwan yang
mampu mendatangkan kemudaratan kepada manusia.
1. Ikan yu
Siapa yang tidak kenal dengan
ikan yu atau lebih dikenali sebagai jerung. Kes-kes berkaitan serangan haiwan
ini terhadap manusia sering kali didengari di kawasan-kawasan pantai di serata
dunia.
Menurut Peter Klimley, seorang
pengkaji tingkah laku haiwan dari Universiti California, ikan yu sebenarnya
tidak menyukai daging manusia kerana daging manusia tidak mengandungi kalori
lemak yang tinggi tidak seperti anjing laut atau singa laut yang merupakan
sumber makanan utama ikan yu.
Ikan ini menyerang manusia
kerana penglihatannya yang kurang jelas mengakibatkan haiwan ini menganggap
manusia sebagai makanannya.
2. Obor-obor kotak
Obor-obor kotak atau nama
saintifiknya Cubozoa ini merupakan salah satu hidupan laut yang sangat
berbahaya. Boleh ditemui di kawasan
perairan pantai Australia utara dan Indo-Pasifik, haiwan berwarna biru pucat
dengan bentuk seperti kotak ini mampu membesar sehingga mencecah 10 kaki
panjang dan 10 inci lebar.
Terkenal dengan racunnya yang
sangat kuat, obor-obor ini mempunyai lima ribu sel menyengat yang mampu
mengakibatkan kematian.
Bagi mana-mana mangsanya yang
terselamat pula, mereka terpaksa menanggung kesakitan selama berminggu-minggu
kerana sengatan obor-obor kotak ini sangat berbisa sehingga mampu kemunculan
parut pada kawasan kulit yang disengat.
3. Sotong berbintik biru
Sotong berbintik biru atau
nama saintifiknya Hapalochlaena ini boleh ditemui di kawasan lautan Asia
Pasifik, Jepun dan Australia. Sotong ini merupakan antara hidupan laut
paling berbisa di dunia, racun yang terhasil oleh sotong ini adalah 10 ribu
kali ganda lebih berbisa daripada sianida.
Meskipun hanya berukuran
sebiji bola golf, haiwan ini mampu membunuh seorang manusia dalam masa hanya
beberapa minit.
Bintik-bintik biru yang ada
pada sotong ini akan menjadi cerah sekiranya haiwan tersebut merasakan dirinya
dalam keadaan terancam dan racun akan segera dihasilkan.
Sehingga kini, masih tiada
penawar yang diciptakan bagi mengubati racun haiwan berbahaya ini.
4. Siput Cone
Haiwan ini berkemungkinan
kelihatan seperti siput biasa, namun hakikatnya, Siput Cone ini merupakan
haiwan yang sangat berbahaya.
Sering bersembunyi di bawah
pasir, siput Cone hanya akan menyerang sekiranya ia merasakan dirinya diancam.
Meskipun diciptakan dengan
cengkerang yang cantik, haiwan ini mampu mengambil nyawa tanpa menyebabkan
mangsanya berasa apa-apa kesakitan.
Siput Cone ini dikategorikan
sebagai haiwan pemangsa dan akan memburu mangsanya dengan mencucuk mereka
menggunakan probosisnya yang tajam dan beracun.
Kesimpulannya, terdapat
pelbagai haiwan merbahaya yang mampu untuk meragut nyawa manusia pada bila-bila
masa.
Oleh itu, anda haruslah
sentiasa berwaspada kerana mereka boleh muncul pada bila-bila masa. [Freemalaysiatoday]
0 Comments