Kompleks Pekan Rabu kini berwajah
baru dengan reka bentuk yang lebih moden dan terkini. Kompleks ini dinaik taraf
dan dibangunkan semula di atas tanah seluas 5,062 meter persegi pada 2014
dengan kos RM56 juta. Kompleks baru ini telah beroperasi sepenuhnya pada Mac
2018.
Walaupun bangunan setinggi
empat tingkat itu dibina dengan reka bentuk serba moden, namun ciri-ciri
keunikan konsep asal Pekan Rabu itu masih dikekalkan dengan reka bentuknya
turut dibina dengan konsep tradisional Islamik.
Jika dahulu Pekan Rabu
dipisahkan dengan dua bangunan, fasa 1 dan fasa 2, sekarang ia dirangkumkan
sekali, duduk dalam satu bumbung, dalam satu bangunan. Apabila pelawat datang mereka tumpu satu
tempat. Ini lebih memudahkan pengunjung untuk membeli-belah.
Jika dulu kompleks ini tidak
ada tempat letak kereta, sekarang bangunan baharu ini menyediakan kemudahan
tempat letak kereta di bahagian bawah tanah sebanyak 203 unit ruang parkir
kereta dan 118 tempat letak motosikal untuk kemudahan pengunjung.
Selain tempat letak kereta,
bangunan baharu itu turut menyediakan sebanyak 355 ruang niaga termasuk 48
kiosk dan 24 gerai makan, kemudahan lif, surau, tandas, mesin pengeluaran wang
automatik (ATM) dan ruang pameran di tingkat bawah serta perhentian bas
pelancong di bahagian luar.
Kompleks Pekan Rabu
sememangnya menjadi tarikan utama pelancong ke Kedah sejak sekian lama dan ia
menyediakan pelbagai jualan seperti makanan, kuih dan pakaian tradisional,
tukang jahit, songkok, kraftangan tempatan, buku, kitab, majalah serta produk
industri kecil dan sederhana (IKS).
Waktu perniagaan kompleks ini
dibuka 7 hari seminggu bermula jam 9.00 pagi hingga 7.00 malam.
0 Comments