Subscribe Us

Kenapa Mahu Sangat Iktiraf UEC? -Anuar Ahmad

SIJIL Peperiksaan Bersepadu (UEC) kembali menjadi isu apabila Peguam Negara, Tommy Thomas mengeluarkan kenyataan yang mendahului kerajaan apabila bersetuju mengiktiraf sijil UEC untuk kelayakan menduduki Sijil Amalan Guaman (CLP). Kenyataannya menimbulkan bantahan daripada pelbagai pihak kerana jemaah Kabinet sendiri belum membuat keputusan berkaitannya. Pada Ogos 2018, Jemaah Kabinet hanya bersetuju supaya Kementerian Pendidikan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas mengkaji keperluan mengiktiraf UEC dan kementerian hanya akan membentangkan laporan itu pada Jemaah Kabinet pada Julai 2019.

Ramai tertanya-tanya apa niat sebenar Peguam Negara sehingga mengambil langkah tergesa-gesa mendahului kerajaan dalam isu UEC ini? Bukankah lebih baik menung­gu dahulu pemben­tangan laporan berkaitan. Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri menje­laskan kerajaan masih belum memberikan pengiktirafan pada UEC buat masa ini.


Mengapa sebahagian rakyat mengambil sikap menolak UEC manakala sebahagian lain pula menyokong UEC?

Sekitar awal 1960-an, hasil daripada dokumen Laporan Pelajaran Rahman Talib dan penggubalan Akta Pelajaran 1961, kerajaan mengambil sikap bertolak ansur dengan menawarkan kepada semua sekolah Cina untuk berada di dalam sistem pendidikan negara. Sebahagian besar sekolah Cina menerima tawaran itu dan sekolah-sekolah ini dikenali sebagai sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) dan sekolah menengah jenis kebangsaan Cina (SMJKC).

Hari ini terdapat 1,298 buah sekolah SRJKC dan 78 buah SMJKC di seluruh negara. Semua sekolah ini menerima peruntukan tahunan daripada kerajaan. Bagaimanapun, ketika tawaran itu dibuat, terdapat 53 buah sekolah menengah Cina menolak dan mereka membuat keputusan secara sukarela untuk terus kekal sebagai sekolah menengah persendirian Cina (SMPC).

Sekarang terdapat 60 buah SMPC di seluruh negara. Semua SMPC yang menolak tawaran itu bersetuju tidak layak menuntut peruntukan kerajaan kerana memilih untuk kekal sebagai institusi pendidikan persendirian dan tidak berada di dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Oleh itu, semua sekolah SRJKC dan SMJKC menerima pakai kurikulum kebangsaan, menggunakan bahasa pengantar Bahasa Kebangsaan di samping meneruskan mata pelajaran bahasa Mandarin. SRJKC dan SMJKC juga menggunakan sistem peperiksaan kebang­saan seperti UPSR, SPM dan STPM manakala SMPC setelah menolak tawaran untuk berada di dalam sistem pendidikan kebangsaan meneruskan dasar menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar dan menggunakan UEC sebagai sistem peperik­saaan bagi Junior (Tingkatan satu-tiga), Senior Satu (Tingkatan empat), Senior Dua (Tingkatan lima dan Senior Tiga (Tingkatan enam).

Kerajaan mengambil sikap bertolak ansur dan sedia menerima kewujudan sekolah persendirian Cina di negara ini walaupun bahasa pengantar di SMPC, isi kandungan kurikulum dan pelaksanaan peperiksaan UEC tidak selari dengan dasar pendidikan kebangsaan. Isunya mengapa setelah persijilan UEC diterima dan dibenarkan di SMPC, timbul pula usaha SMPC menuntut dan mendesak supaya kerajaan mengiktiraf persijilan UEC?

Tuntutan pengiktirafan UEC ini tentulah akan menimbulkan isu sekurang-kurangnya di dalam dua keadaan. Pertama, pengiktirafan UEC adalah bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan kedua, pengiktirafan UEC akan secara langsung merosakkan aspirasi dan Falsafah Pendidikan Negara yang berhasrat membina satu sistem pendidikan untuk perpaduan seluruh rakyat dalam Malaysia.

PERKARA 152
Perkara 152 Perlemba­gaan Persekutuan memperuntuk­kan semua hal bersifat rasmi mestilah di dalam Bahasa Kebangsaan. Memberikan pengiktirafan kepada UEC bermakna satu bentuk urusan rasmi. Oleh itu, bagaimana persijilan UEC yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan boleh diberikan pengiktirafan sedangkan terang terangan UEC bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan? Bagaimana UEC yang diam­bil dari negara luar dan bukan dalam Bahasa Kebangsaan boleh diiktiraf sebagai mempunyai maksud rasmi mengikut peruntukan perlembagaan? Sedangkan SMPC tidak menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar.

PERPADUAN
Di dalam semua Laporan Pelajaran dan Dasar Pelajaran Kebangsaan sejak merdeka hingga ke hari ini, dinyatakan secara jelas salah satu tunggak pembinaan sistem pendidikan negara adalah untuk membina perpaduan antara kaum. Kerajaan pada awal merdeka berhasrat menyatukan semua sekolah di negara ini di bawah satu sistem persekolahan. Walau bagaimanapun, hasrat ini mendapat tentangan daripada pejuang pendidikan Cina. Bagi mencapai maksud bertolak ansur, diwujudkan tawaran untuk menjadikan semua sekolah Cina sebagai sekolah bantuan kerajaan melalui pengenalan SRJKC dan SMJKC. Malangnya, tidak semua pemimpin pendidikan Cina bersetuju.

Pada kumpulan yang menerima tawaran untuk melaksanakan SRJKC dan SMJKC, usaha membina perpaduan berlaku dengan baik apabila penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar di sekolah berkenaan. Pada masa sama, mata pelajaran Bahasa Mandarin kekal dan diteruskan di semua SRJKC dan SMJKC. Lembaga pengelola sekolah juga kekal mentadbir SRJKC dan SMJKC. Oleh itu, SRJKC dan SMJKC selari dengan sistem pendidikan kebangsaan yang diasaskan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Jika sijil UEC yang diurus­kan SMPC diberikan pengiktirafan, apakah langkah ini akan menyokong kepada perpaduan rakyat Malaysia? Sedangkan bukan sahaja SMPC tidak menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar malah kandungan kurikulum juga berbeza dengan SMK? Bagaimana pula pelajar SMPC akan mempunyai pengetahuan dan latar belakang sejarah negara jika isi kandungan kurikulum Bahasa Malaysia dan Sejarah tidak setara dengan kurikulum kebangsaan?

Bagaimana pula pelajar SMPC akan mempunyai pengalaman dan pengetahuan selari dengan kurikulum kebangsaan jika buku teks dan latihan guru untuk pendidik SMPC juga bukan dari institusi di bawah Kementerian Pendidikan? Bagaimana sijil UEC boleh diiktiraf jika penilaian untuk Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia tidak melalui proses semakan dan diiktiraf oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia atau Majlis Peperiksaan Malaysia? Jika semua soalan ini masih tiada jawapan jelas, apakah kurikulum sijil UEC ini boleh diberikan pengiktirafan?

UEC bukanlah isu yang patut menjadi polemik. Isu pokok adalah sikap pengurusan SMPC yang tidak mahu berada di dalam sistem pendidikan kebangsaan. Mereka memilih untuk berada di luar sistem pendidikan kebangsaan. Pendekatan terbaik, pengurusan SMPC perlu mengambil langkah untuk bertolak ansur dan bersedia menggunakan format SRJKC dan SMJKC dan seterusnya bersetuju untuk berada di dalam sistem pendidikan kebangsaan. Tolak ansur pihak pengurusan SMPC akan banyak memberikan kebaikan kepada sistem pendidikan negara.

  • ANUAR AHMAD ialah Pensyarah sosiologi pendidikan fakulti pendidikan, universiti kebangsaan malaysia.

Catat Ulasan

0 Ulasan