Subscribe Us

Lalat Sipengotor Yang Luar Biasa


KITA kenal lalat sebagai serangga yang serba kotor, yang suka hinggap di tempat yang kotor sehingga menjadi pembawa penyakit dan kuman.

Lalat itu ibarat GPS kekotoran - jika ada lalat, di situlah ada kotoran.


Namun, menurut ulama, secara lahiriah lalat bersih haiwannya. Ia tidak mengotori air selagi tidak merubah sifat air itu, misalnya dari segi warna, rasa dan baunya.


Sejak dahulu kala, sengatan tebuan dan kalajengking dirawat dengan menggeser badan lalat yang dibuang kepalanya.
Dalam dua perang dunia, diperhatikan bahawa luka soldadu yang terdedah kepada lalat lebih cepat sembuh.


Hari ini pun, berenga lalat (maggots) terus digunakan untuk mengubati luka. Ia makan tisu mati dan membiarkan hidup tisu yang sihat.

Ahli bedah Russia, Pirogov, menggunakan berenga semasa Perang Crimea untuk mengubati pesakitnya.


Bahkan, lalat didapati mampu menghasilkan penawar bagi jenis-jenis kuman yang baru diperkenalkan kepadanya.  Misalnya, tersiar dalam Jilid 43 Rockefeller Foundation's Journal of Experimental Medicine (1927) bahawa kuman bagi sebilangan penyakit mati selepas dikenalkan kepada lalat. Lalat didapati bukan saja menghasilkan bacteriophage yang berupaya membunuh empat jenis kuman yang membawa penyakit, bahkan mendatangkan kekebalan terhadap empat lagi jenis kuman.


Penyelidikan mengenai penggunaan bacteriophage dalam perubatan terbantut selepas antibiotik ditemui. Ia rancak semula sedang kuman zaman ini semakin kebal terhadap antibiotik.


Awal dekad lalu, satu pasukan di Jabatan Sains Biologi di Universiti Macquarie, Australia, menemui bahan antibiotik pada permukaan lalat.


Bagaimanakah bahan itu dikeluarkan? Dengan merendamkan lalat itu dalam etanol dan kemudian menapis cecairnya! 


Lalat disebut dalam banyak hadis sahih, termasuk yang diriwayatkan Imam Bukhari daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi bersabda:


"Jika lalat terjatuh di minuman salah seorang di antara kamu, benamkanlah ia, kemudian lepaskanlah (buanglah), kerana pada salah satu sayapnya terdapat penyakit dan pada sayap yang lainnya terdapat ubat (penawar)." 


Sesetengah pihak mendakwa hadis tersebut tidak masuk akal - kalaulah lalat kotor, kenapalah rendamkannya? Walhal hadis itu memang munasabah - takkanlah lalat berupaya membawa kuman dan penyakit tanpa penawarnya sekali? Kalau tidak, sudah tentu lalat sudah lenyap daripada muka bumi sejak dulu lagi.


Lalat digunakan oleh Abdullah ibnu Mas'ud dalam mengungkap sikap kita terhadap dosa:
"Seorang Mukmin melihat dosanya seolah-olah ia berada pada kaki gunung yang akan runtuh menimpanya, sedangkan orang durhaka (al-fajr) melihat dosanya sebagimana lalat hinggap pada hidungnya, kemudian ia menghalaunya."

Al-Qadhi 'Iyadh menyebut di dalam al-Syifa dan al-'Azafi pula dalam Maulid-nya:
"Antara keistimewaan Nabi Muhammad saw, lalat tidak pernah menghinggapi baginda."

Catat Ulasan

1 Ulasan

oooooo, begitu..maknanya kita xleh la nak hina sangat mcm kita nampak kotor..tapi banyak kebaikannya :)