"مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ."
"Sesiapa mengerjakan sembahyang malam dalam bulan Ramadhan, sedang ia beriman serta mengharapkan rahmat Allah Taala, maka ia akan diampunkan dosanya yang telah lalu" (1)
"Qiamullail" (sembahyang malam) yang dimaksudkan dalam hadith ini ialah menghayati tiap-tiap malam bulan Ramadhan dengan sembahyang-sembahyang sunat - terutama sembahyang tarawih.
Hadith ini menerangkan kelebihan atau fadhilat sembahyang tarawih serta balasan baik yang akan dikurniakan oleh Allah Taala kepada orang-orang yang mengerjakannya dengan ikhlas dan sempurna iaitu mengampunkan dosanya yang telah lalu. Kalimah "tarawih" ialah kata jama' dari perkataan "tarwihah" yang bermakna berhenti rehat, kerana orang-orang yang mengerjakan sembahyang tarawih akan berhenti sebentar pada tiap-tiap kali mereka selesai mengerjakan empat rakaat dengan dua salam.
Mereka melakukan yang demikian sebanyak lima kali sepanjang dua puluh rakaat tarawih yang termaklum.
Sembahyang tarawih sunat hukumnya untuk dikerjakan oleh kaum lelaki dan kaum perempuan.
Boleh dikerjakan di rumah dengan seorang diri atau dengan berjamaah. Tetapi lebih afdhal dikerjakan dengan berjamaah di masjid atau di surau.
[sumber: dipetik dpd JAKIM]
0 Comments