Subscribe Us

Boleh Sambung Solat Selepas Salam Kerana Tidak Cukup Bilangan Rakaat - Jabatan Mufti WP, Jabatan Mufti N. Selangor

SOALAN: Bagaimanakah kalau kita bagi salam sebelum cukup rakaat, kemudian baru perasan atau diberitahu rakaat belum cukup. Betulkah kita perlu bangun dan tambah bilangan rakaat yang tidak cukup, kemudian sujud sahwi dan bagi salam, atau kena solat semula dari awal. Bagaimana pula kalau setelah salam yang awal tadi kita dah bercakap dan bergerak?

Jazakallah atas perhatian syeikh.

 

JAWAPAN 1: Jabatan Mufti WP

Dalam hal ini, sayugia kita merujuk kepada sejarah Islam, dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim dan lain-lain riwayat, bahawa Rasulullah SAW solat fardu Zuhur, dalam satu riwayat solat fardu Asar, sebanyak 2 rakaat lalu Baginda SAW bangkit menuju ke pintu dengan wajahnya yang serius. Lalu seorang sahabat yang dipanggil Dzul Yadain bertanya kepada Rasulullah SAW:

نَسِيتَ الصَّلَاةُ أَمْ أَقُصِرَتِ

Maksudnya: Adakah solat telah dipendekkan (oleh Syarak) atau engkau telah lupa ?

 

Jawab Rasulullah SAW: Solat tidak dipendekkan dan aku tidak pula lupa. Baginda SAW lalu bertanya kepada para sahabat yang lain: Apakah benar yang dikatakan Dzul Yadain itu?. Mereka membenarkannya. Lalu Baginda SAW bangkit dan menyempurnakan baki solat dua rakaat lagi beserta sujud sahwi. [Hadis riwayat Imam Muslim (573) dalam Sahihnya]

 

Hadis ini menerangkan tunjuk ajar Nabi SAW kepada para sahabatnya, dan umat keseluruhannya, tentang tatacara melengkap solat fardu yang tidak sempurna bilangan rakaatnya, kerana lupa atau sebagainya.


Justeru boleh disambung untuk melengkapkan bilangan rakaat yang belum sempurna jika selepas salam yang tersilap itu tidak diselangi dengan percakapan dan pergerakan yang banyak. 


Manakala, jika sudah berlalu tempoh yang panjang berserta pergerakan yang banyak (seperti mandi, makan minum) maka perlu ditunaikan semula solat daripada awal. Wallahua`lam. [JabatanMufti WP]

Jawapan 2: Jabatan Mufti Negeri Selangor

Merujuk kepada persoalan tuan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA beliau berkata;

 

Mafhumnya: “Rasulullah SAW telah solat bersama kami dalam salah satu solat al-‘asyi (zohor atau asar)”- Imam Ibnu Sirin menyatakan bahawa “Saidina Abu Hurairah RA telah memberitahu nama solat tersebut namun aku terlupa” - Saidina Abu Hurairah berkata: “Baginda SAW solat dengan kami dua rakaat kemudian memberi salam.

 

Lalu Baginda SAW bangun pergi ke sebatang kayu yang diletakkan melintang di dalam masjid lalu bersandar padanya dalam keadaan seperti menahan marah, lalu Baginda SAW meletakkan tangan kanannya ke atas tangan kiri lantas menyilangkan jari jemari, kemudian Baginda SAW meletakkan pipi kanannya di belakang tapak tangan kiri”. Kemudian para jama’ah yang keluar awal dari masjid berkata “solat telah dikurangkan kepada dua rakaat”. Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar RA yang berada di belakang Nabi SAW tidak bertanyakan apa-apa kepada Baginda SAW kerana rasa hormat yang tinggi kepada Baginda SAW.

 

Di kalangan para sahabat ada seorang lelaki yang panjang tangannya digelar Zul Yadain bertanya kepada Baginda SAW. “Adakah kamu terlupa atau (rakaat) solat telah dikurangkan?” Baginda SAW menjawab “aku tidak terlupa dan solat juga tidak dikurangkan”. Baginda SAW betanya kepada para sahabat berkaitan kurangnya bilangan rakaat seperti yang didakwa. “Apakah benar apa yang dikatakan Zul Yadain?” Para sahabat menjawab “ya”.

 

Lantas Nabi SAW melangkah ke hadapan (tempat imam) lalu menyempurkan (rakaat) solat yang ditinggalkan kemudian memberi salam. Kemudian Baginda SAW bertakbir lalu sujud sepertimana sujudnya yang lalu atau lebih panjang (sujud sahwi), kemudian mengangkat kepalanya (bangun dari sujud) sambil bertakbir dan kemudian sujud semula sepertimana sujudnya yang lalu atau lebih panjang, kemudian mengangkat kepalanya sambil bertakbir”. Ibnu Sirin ditanya “adakah Baginda SAW memberi salam selepas takbir terakhir? Beliau menjawab, “aku diberitahu ‘Imran bin Husoin RA berkata “kemudian Baginda SAW memberi salam (selepas takbir terakhir)” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

 

Hadis di atas menjelaskan bahawa, seseorang yang sedar selepas memberi salam bahawa dia telah tertinggal rakaat solat, wajib bangun segera untuk menyempurnakan solatnya dengan syarat;

 

i. Jarak masa di antara memberi salam dan menyambung semula solat tidak terlalu lama. Di penghujung solat, disunatkan untuk sujud sahwi iaitu dengan dua kali sujud. Akan tetapi, jika selang masa terlalu lama maka solat wajib diulang semula dari awal.

 

ii. Tidak melakukan perkara yang membatalkan wuduk atau solat. Percakapan yang sedikit seperti menjawab teguran orang lain berkaitan bilangan rakaat tidak membatalkan solat. [JabatanMufti Negeri Selangor]

Post a Comment

0 Comments