Pantai Penarik, sesuai dengan namanya, kerana memiliki keistimewaan yang tiada di tempat lain selain keindahan pantainya yang memukau.
Pantai yang terletak di Timur Semenanjung menghadap Laut Cina Selatan ini memiliki pinggiran pantai yang bersih memutih, menarik para pengunjung menikmati panorama begitu mendamaikan, dan di sinilah juga terdapatnya deretan restoran yang menyajikan menu istimewa makanan laut sebagai tarikan utamanya.
Setibanya di Pantai Penarik, mata anda pastinya akan terfokus dengan deretan kedai dan restoran tersusun molek di sepanjang pantai yang popular dengan seafood celup tepung atau lebih popular dengan singkatan ICT, Ikan Celup Tepung. Lokasi Pantai Penarik Setiu hanya 1 jam perjalanan dari Kuala Terengganu.
Antara deretan kedai celup tepung popular adalah NL Celup Tepung, Mr CTS celup Tepung, Nik Celup Tepung, QM Celup Tepung, Raja Udang Celup Tepung, King Trizai Celup Tepung, Ku Celup Tepung, Sri Penarik Celup Tepung dan banyak lagi.
Manakala di bahagian belakang deretan restoran celup tepung pula terdapat pantai yang sungguh menawan, pantainya bersih dan agak luas memanjang menganjur di sepanjang pantai tersebut dihiasi dengan deretan pokok-pokok kelapa yang sentiasa melambai kehadiran para pengunjung.
Kebanyakan restoran di sini menyediakan pelbagai hiasan yang
unik serta kemudahan rekreasi di tepi pantai untuk para pengunjung berselfi dan
beriadah sambil menikmati keenakan menu celup tepung.
Antara menu celup tepung yang disajikan di kebanyakan restoran di sini ialah ketam dan udang celup tepung, dan pelanggan juga boleh memilih menu celup tepung yang lain seperti sotong, ikan, siput, kerang, bebola dan sebagainya yang dimasak segar sepanjang masa.
Selain menu celup tepung, turut disajikan pelbagai jenis menu lain seperti pelbagai menu sup, menu berasaskan nasi, makanan panas, minuman sejuk dan panas dengan harga mampu milik😊
Kebanyakan restoran celup tepung di pantai Penarik sangat selesa, tempatnya bersih, ruang tempat makan cukup luas hingga ke tepi pantai di bawah rimbunan daun pokok-pokok kelapa. Jika tidak muat untuk duduk di dalam atau di luar kedai, anda juga boleh memilih untuk makan di di tingkat atas restoran.
Sementara sedang asyik menjamu selera, jiwa anda pastinya tenang tatkala disapa hembusan bayu laut, sambil menikmati bunyi deruan ombak menghempas pantai. Anda juga dihiburkan oleh kumpulan buskers dengan irama muzik serta alunan lagu-lagu yang mengasyikkan sehinggakan anda tidak sedar bahawa anda sudah berada lama di situ.
Walaupun lokasi lubuk ICT setiu agak jauh dari Kuala Terengganu, (1 jam perjalanan) saya yakin anda pasti berasa puas hati dan rasa amat berbaloi sebaik saja anda tiba di destinasi tersebut. Sepanjang perjalanan ke Setiu anda tidak akan berasa jemu dengan keindahan dan keunikan tempat atau desa-desa yang anda lalui nanti, percayalah😊.
0 Comments