Subscribe Us

Jenis-Jenis Penyakit Jantung

Penyakit jantung masih kekal sebagai penyebab kematian no.1 di Malaysia sejak beberapa tahun yang lalu. Mengikut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, penyakit jantung, spesifiknya penyakit arteri koronari meliputi 15.6% punca kematian pada tahun 2018 dengan purata kematian sebanyak 50 orang sehari!

 

Jenis-Jenis Penyakit Jantung

 

1. Penyakit Arteri Koronari (Coronary Artery Disease)

Penyakit ini merupakan penyakit jantung yang paling biasa dihadapi dalam kalangan rakyat Malaysia dan seluruh dunia. Ia berlaku akibat pengumpulan plak di dalam arteri koronari iaitu arteri yang menyalurkan darah dan oksigen kepada jantung yang menyebabkan kematian otot jantung dengan segera dan boleh membawa maut.

 

2. Aritmia

Penyakit jantung aritmia berlaku apabila degupan jantung menjadi tidak teratur dan tidak sekata. Gangguan irama jantung ini boleh dikategorikan sama ada terlalu cepat (tachyaritmia) atau terlalu perlahan (bradyaritmia). Antara gejala penyakit aritmia ini ialah sesak nafas, jantung berdebar dan sakit dada.

 

3. Penyakit Jantung Kongenital

Penyakit jantung ini kebiasannya dilihat dalam kalangan bayi dan kanak-kanak. Kebiasaanya penyakit jantung kongenital berlaku disebabkan struktur anatomi jantung yang tidak lengkap atau gangguan dalam pengaliran darah masuk dan keluar jantung. Antara risiko berlakunya penyakit jantung ini adalah, pengambilan alkohol oleh ibu mengandung serta penyakit seperti jangkitan Rubella.

 

4. Kegagalan Jantung

Punca utama sakit jantung, strok dan kegagalan jantung adalah dari tekanan darah tinggi.  Kegagalan jantung boleh berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor yang berkaitan dengan jantung atau organ lain. Antara punca yang menyumbang kepada kegagalan jantung termasuk, penyakit arteri koronari, aritmia dan tekanan darah tinggi. Masalah-masalah ini biasanya menyebabkan otot-otot jantung terpaksa bekerja dengan lebih keras untuk mengepam darah ke seluruh tubuh. Lama kelamaan, otot-otot jantung ini akan menjadi tebal, atau lemah dan tidak dapat mengepan dengan baik lagi.

 

5. Penyakit Injap Jantung

Jantung kita mempunyai 4 ruang dan setiap ruang ini terpisah dengan injap yang berfungsi untuk mengelakkan darah mengalir semula ke ruang sebelumnya. Injap jantung boleh menjadi terlalu keras sehingga tidak terbuka sepenuhnya lalu menyukarkan aliran darah, atau menjadi lemah sehingga tidak tertutup sepenuhnya lalu menyebabkan darah mengalir ke belakang. Kedua-dua masalah ini boleh disebabkan oleh pelbagai perkara seperti jangkitan atau keradangan pada injap dan penuaan. Penyakit injap jantung yang tidak dirawat boleh menyebabkan kegagalan jantung.

 

Gejala Penyakit Jantung

Penyakit jantung yang berlainan akan memberikan gejala yang berlainan. Namun begitu, gejala sakit jantung yang biasa berlaku adalah:

 

* Sakit dada

* Sesak nafas semasa rehat atau ketika melakukan aktiviti

* Degupan jantung lebih kuat

* Keletihan walaupun tidak melakukan aktiviti atau kerja berat

* Sakit, kebas, atau lemah pada anggota tangan atau kaki (biasanya kiri)

* Sakit pada bahagian rahang, leher, perut bahagian atas atau belakang

 

Sekiranya anda mengalami gejala di atas, atau mengesyaki anda diserang penyakit jantung, sila dapatkan rawatan di hospital dengan segera. [doctoroncall]

Post a Comment

0 Comments