Subscribe Us

Tanjung Piai, Penghujung Selatan Tanah Besar Benua Asia


Tanjung Piai
 merupakan kawasan tarikan pelancongan terkenal di Malaysia. Ini kerana ia merupakan tanah besar paling selatan di benua Asia. Ia terletak dalam mukim Kukup, Daerah Pontian, Johor. 

Secara tepatnya Tanjung Piai terletak pada latitud 01.16 `Utara dan longitud 103.30.46 `Timur. 



Taman Negara Tanjung Piai (Johor) ditubuhkan pada tahun 1997 untuk melindungi tapak unik ini; terutamanya paya bakau dan kawasan berlumpur yang saling memberikan fungsi penting kepada ekosistem kawasan sekitar. Pada tahun 2003, Taman Negara Tanjung Piai diiktiraf oleh Konvensyen Ramsar sebagai Tapak Ramsar, atau Tanah Lembap Berkepenting Antarabangsa.

 

Taman Negara Tanjung Piai diwujudkan adalah untuk melindungi hutan bakau yang menghadapi masalah hakisan yang serius disebabkan oleh ombak yang kuat terutamanya disebabkan oleh beribu-ribu kapal tangki yang berlayar setiap tahun, serta kejadian pencemaran sekali-sekala dari tumpahan minyak dan pembuangan air balas secara haram. 


Sebuah 
mercu tanda telah dibina di sini bagi menandakan 'Tanah Terselatan Benua Asia' yang dibina pada 2001. Gentian konkrit mesra alam berukuran 20m tinggi dan 10m lebar ini dibina oleh kerajaan negeri Johor.

Tanjung Piai terkenal dengan restoran makanan laut dan juga mempunyai hutan paya bakau yang indah dan belum terdedah kepada pencemaran mahupun pembangunan. Dari sini, kita dapat lihat bangunan pencakar langit Singapura yang dipisahkan oleh Selat Johor. 



Penanaman semula pokok bakau secara intensif giat dijalankan, serta dengan adanya pembinaan pemecah ombak, hasilnya arus pasang kini telah berubah. Banyak kawasan yang sebelumnya terhakis kini telah ditumbuhi semula oleh hutan bakau yang sihat dan taman ini kini berada dalam keadaan yang lebih baik.


Berkeluasan 325 hektar, Tanjung Piai sudah pasti antara tempat yang menarik untuk anda kunjungi, menghayati keindahan, mengambil gambar pemandangan dan mengagumi hubungan antara manusia dan alam semula jadi.


Taman ini mempunyai kemudahan asas yang cukup untuk pelawat yang datang termasuk rangkaian laluan pejalan kaki berkembar sepanjang 1.2 km, kompleks pelawat yang menempatkan galeri maklumat, serta tapak perkhemahan yang unik di dalam bakau. [rujukan pelbagai sumber/ johornationalparks.gov.my]


Catat Ulasan

0 Ulasan