Pepatah
Cina berkaitan monyet berbunyi; semakin tinggi monyet memanjat, semakin
terserlahlah punggungnya (bahagian sulit). Bermaksud, jika berusaha
bersungguh-sungguh, menggunakan segala tenaga dan bakat, yakinlah kejayaan pasti akan datang. Kata-kata ini dipegang orang Cina.
Tamadun
Cina kaya dengan kata-kata hikmah sebegini, dalam menjalani kehidupan.
Setiap tahun, binatang silih berganti, ada sahaja keistimewaan
masing-masing. Mereka amat percaya, dan berusaha ke arah itu. Pendek
kata, teori dipraktikkan.
Kata-kata
hikmah Melayu tidak kurang hebatnya. Tetapi lebih teori daripada
praktik. Memilih yang negatif daripada positif. Misalnya, yang bulat
takkan datang menggolek, yang pipih takkan datang melayang. Praktiknya,
kita lebih kepada menanti yang bulat datang menggolek, yang pipih datang
melayang. Isu bauksit sebagai contoh. Berapa ramai lagi pegawai pejabat
tanah akan didakwa?
Sebab
itu, janganlah kita dengki jika orang lain berjaya sehingga menjadi
ultra kiasu. Mereka tidak jemu berusaha. Sejarah membuktikan, bermula
penghijrahan, mereka datang dengan sehelai sepinggang. Hari ini, harta
keliling pinggang. Pasal apa? Mereka berusaha, tidak bersengketa sesama
sendiri. Inilah iktibar Tahun Monyet.
Pertama,
dari sudut kerjaya. Monyet sentiasa mencari peluang baharu dan berusaha
menerokai peluang tersebut hingga berjaya serta mendapat hasil lumayan.
Tidak takut dalam mengutarakan idea, kritikan dan pandangan selagi itu
baik untuk menunjang karier. Kita asyik tikam-menikam sesama sendiri,
juga dalam organisasi dan parti.
Kedua,
kasih sayang monyet. Monyet amat mementingkan kasih sayang dalam
kalangan mereka. Lompatlah setinggi mana pun, anak yang dikendung tidak
akan terlepas. Inilah ikatan orang Cina, hubungan kasih sayang sebangsa
yang kuat dan sentiasa diperbaharui.
Tidak
seperti kita, bergaduh tiada penghujung. Apatah lagi apabila Amanah
mengeluarkan kenyataan sesiapa (Pas) yang bekerjasama dengan Umno,
adalah musuh mereka. Umno lebih bahaya daripada ultra kiasu. Sanggup
menolak saudara seagama. Kesesatan apakah ini?
Ketiga,
ekonomi monyet. Monyet sentiasa meninjau dan memperbaiki strategi
ekonomi masa lalu berhadapan dengan masa kini. Terus aktif dan pro-aktif
mengejar peluang. Mereka akan cuba menghindari perkara yang boleh
merosakkan seperti provokasi. Mereka tidak mengejar populariti dan
berpolitik bodoh seperti kita. Maka tidak hairan jika kekayaan mereka
melimpah ruah. Kita pantang kaya sedikit, berlagak sana sini. Sibuk
tunjuk kekayaan.
Keempat,
kesihatan monyet. Monyet sentiasa menjaga kesihatan agar panjang umur,
murah rezeki (huat cai). Paling baik meninggalkan perbuatan yang
mengakibatkan ketagihan seperti minum arak dan merokok, termasuk vape.
Rehat dan tidur yang cukup.
Bukan
seperti kita isu rokok dan vape tidak pernah selesai. Fatwa kata vape
haram, Kabinet kata tidak. Peliknya, rokok tidak haram pula. Apa
sebenarnya kita ini? Sedangkan dalam Islam, yang haram jelas, yang halal
juga jelas.
Kelima,
jauh berjalan luas pemandangan. Tahun Monyet sangat baik untuk berjalan
bagi mendapatkan pengalaman dan memperluaskan lingkaran sosial. Bukan
sekadar berjalan. Kita sibuk melancong ke sana ke mari, Makkah tidak
pernah dijejaki. Yang pergi ke Makkah, balik sibuk bertaubat, esok buat
maksiat. Taubat apakah ini?
Keenam,
sosial monyet. Menjaga kemuliaan akhlak dan rendah diri. Fokus lebih
membantu orang lain yang memerlukan. Saling tolong menolong. Itulah fong
shui. Ada keluar, ada masuk. Kita bagaimana?
Kisah
dongeng monyet patut dijadikan teladan oleh kita semula. Penjual
songkok tertidur di sebatang pokok. Melihat penjual itu sudah tidur,
monyet pun turun dan mengambil semua songkoknya. Monyet sungguh gembira
dan kelihatan seperti tidak tahu apa yang hendak dilakukan.
Ada yang membelek-belek, ada yang meletakkan di kepala, ada yang membaling semula.
Bila
terjaga, penjual songkok panik, kerana semua songkok telah diambil
monyet. Kecuali ada beberapa yang terjatuh. Penjual songkok berfikir
bagaimana mendapatkan semula songkoknya. Sambil berfikir, dia
melambung-lambung songkok.
Perbuatannya
itu diperhatikan oleh monyet. Kemudian monyet meniru apa yang sedang
dilakukan oleh penjual tadi. Songkok-songkok itu dilambungkan. Sekali
lambung saja, semua songkok itu jatuh. Penjual songkok segera memungut
songkok, lalu beredar pergi.
Rupanya,
orang lain sibuk mengambil iktibar Tahun Monyet, tetapi kita meniru
perangai monyet. Malang sungguh! Selamat menyambut Tahun Monyet
No comments:
Post a Comment